• About
  • Lyrics
  • Gallery
  • Archive for the ‘Warna Kasih’ Category

    ‘apa yg belum & ingin anda lakukan untuk keluarga, teman, pasangan anda. jika diberikan peluang, agar mereka dpt tersenyum bila teringatkan anda’

    Written by admin on Thursday, February 26th, 2009 ( 3 responses )

     

    Seorang pendengar Warna Kasih telah mengirim email agar kita ketengahkan topic yang akan membuat anda terfikir sejenak.

     

    ‘apa yg belum & ingin anda lakukan untuk keluarga, teman, pasangan anda. jika diberikan peluang, agar mereka dpt tersenyum bila teringatkan anda’

     

    Mungkin bagi yang perihatin sahaja akan duduk dan fikirkan dan sekurang-kurangnya berangan-angan untuk memberi sesuatu kejutan kepada orang yang anda hargai dan kasihi. Memang untuk mengikhtiarkannya sesuatu usaha yang mengambil tenaga atau masa.

     

    Tetapi, seandainya anda diberikan peluang, apa yang ingin anda lakukan buat orang disayang? Mungkin yang tak pernah-pernah masak ingin belajar masak? Atau yang tak pernah-pernah keluar Negara jauh, ingin membawa keluarga melancong bersama? Ataupun kejutan seperti membelikan sayang anda sebuah kereta?

     

    Hahahah… semua ini kalau saja. Tapi angan-angan boleh menjadi cita-cita, boleh tercapai tau.

     

    Kalau punya pasal, semua ok. Jadi, Kalau anda boleh, apa yang ingin diberikan kepada pasangan anda?

     

    Kita bersantai malam ini, dan ukirkanlah senyuman, walaupun angan-angan saja, buat yang disayangi.

     

    Ha, dari kecil lagi, ibu saya inginkan Rantai Kapal Emas, kalau lah kalau, saya berkemampuan, akan ku belikan ibu kesayanganku rantai kapal emas.

     

    Anda pula bagaimana?

     

     

    Kongsi lah bersama.

    Tidak ada betul mahupun salahnya dalam pandangan anda. Semua ini merupakan WARNA KASIH dan kita tanamkan Cinta, Kasih dan Sayang dalam jiwa kita.

     

     

    Enggang sama enggang, pipit sama pipit

    Written by admin on Thursday, February 26th, 2009 ( Start discussion )

    Enggang sama enggang, pipit sama pipit: 

    1.         anak orang besar kawin dengan anak orang besar, orang kecil dengan orang kecil pula.

    2.         sudah begitu adatnya.

     

     

    Jodoh Pertemuan di tangan tuhan. Itulah ungkapan yang sering kita dengar ataupun apa yang sering diucapkan oleh orang kita. Namun, sering pula kita mendengar tentang bertapa tidak cocoknya sepasang kekasih ataupun sepasang suami isteri itu, tentunya, inilah mengumpat namanya. Yang ingin dijadikan renungan, kenapakah kita sering mengaitkan tentang isu cocok tak cocok, sesuai tak sesuai?

     

    Kita juga akur tentang yang baik akan menerima yang baik dan yang jahat diciptakan khas untuk si jahat begitulah yang pernah kita dengar dalam topic-topik perbualan kita. Sebagai gurauan mahupun secara jujur bila seseorang itu mengatakan, “isterinya sebaik-baik manusia, tetapi tengoklah suaminya, hmmm… dah jodoh masing-masing”

     

    Ataupun sebaliknya, “Huh! Kau tengoklah si Bidin tu, punyalah takut dengan isterinya. Si Bidin tu pendiam, tak banyak cakap, kena Queen Control dengan isterinya. Kesian si Bidin tu, asyik kena tengking dengan isterinya.”

     

    Ada sesetengah golongan pula yang mengatakan bahawa “Opposite Attracts” ataupun yang berlawan itulah menjadi pujaan dan memikat hati. Apakah ini betul? Yang pendiam akan bersama dengan yang kuat bercakap, yang bersuara tinggi dan lantang akan bersama lawannya, iaitu, mereka yang bercakap dengan lemah lembut, dan sebagainya.

     

    Apakah sebenarnya tarikan dan keistimewaan pada pasangan yang berlawan ini berbanding dengan orang yang sama minatnya, yang sama perwatakannya, yang sama kehendak dan keinginnya? Mungkin bagi mereka yang berpasangan dengan mereka yang mempunyai hobi atau kegemaran yang sama akan mengatakan mereka dapat melakukan ia dengan baik kerana saling faham memahami citarasa diantara satu sama lain. Jadi, keseronokan berpasangan yang lain, apakah dia?

     

    Kita bersantai malam ini dengan topic atau mauduk yang lebih ringan.

    Bangkitkan semula rasa cinta anda

    Written by admin on Thursday, February 26th, 2009 ( One response )

    Memang lumrah, hanya manusia yang diciptakan dengan perasaan bosan. Bayangkan, haiwan-haiwan peliharaan kita seperti kucing, jemu dan bosan dengan makanan kucing yang kita sering berikan kepadanya. Manusia sering jemu dengan makanan yang sama, pekerjaan yang sama, pakaian yang sama, dah pulak tu, pasangan yang sama. Ada sesetengah golongan yang akui bahawa mereka sudah jelak dengan pasangan mereka. Bagi lelaki, mereka kata isteri mereka tak secantik dulu atau si isteri katakan suami mereka sudah tak berambut, perut dah boncit, dah tak macho lah.

     

    Renungkanlah.  Ramai diantara kita yang makan nasi setiap hari. Tetapi dari kecil lagi kita tidak jemu. Nasi digoreng, nasi berlauk yang diubah, dibuat ketupat, dibuat lontong, nasi lemak, briyani dan sebagainya.

     

    Boleh atau tidak, kita mencari setiap hari, sesuatu yang menarik, sesuatu yang boleh membuat kita jatuh cinta sekali lagi dengan pasangan kita bagaikan hari pertama kita bertemu.

     

    Apakah caranya untuk anda hilangkan rasa jemu dalam rumah tangga anda?

    Peranan utama diabaikan

    Written by admin on Thursday, February 26th, 2009 ( 2 responses )

    Seorang pendengar telah mengirimkan pandangan dan ingin warna kasih mengetengahkan topic ini.

     

    Dikatakan beliau terdengar di radio Warna bahawa seorang penceramah yang mengatakan, peranan pasangan suami isteri adalah sebagai isteri atau suami adalah yang utama dan yang pertama sebelum memainkan peranan sebagai seorang ibu atau bapa.

     

    Beliau tidak setuju dengan pendapat sedemikian. Dikatakan, sebagai seorang ibu, haruslah bertanggunjawab dengan anak yang telah dikandungkan. Beliau juga menambah, sebagai seorang anak pula, mereka tidak diminta dilahirkan, dari itu, haruslah kita memainkan peranan kita untuk memberi perhatian, dan membesarkan mereka dan memberi tumpuan yang sepenuhnya dan peranan kita sebagai ibu dan bapa, haruslah dijadikan peranan yang pertama. Kemudian, barulah peranan kita sebagai suami atau isteri dijalankan. Sebagai contoh, seandainya anak yang menangis kelaparan dan inginkan susu dan serentak suami yang minta disajikan kopi kerana mengantuk. Siapakah yang harus dilayani dulu? Mestilah bayi yang kelaparan. Suami harus membuat sendiri kopi yang diingini.

     

    Sinario yang membuat kita terfikir sejenak. Jadi yang disoalkan ialah peranan pertama. Antara sebagai pasangan suami isteri, atau ibubapa, mana yang menjadi utama kalau harus membuat pilihan?

    Mak sendiri belum puas kasi makan!

    Written by admin on Thursday, February 26th, 2009 ( Start discussion )

    Seorang kenalan saya mendengar perbincangan kita mengenai kerja sambilan bagi anak remaja 2 minggu yang lalu. Beliau juga menambah mengenai peristiwa-peristiwa yang berkaitan dengan penjagaan orang tua, pernikahan, wang hantaran dan banyak lagi yang telah kita berbincang di Warna Kasih. Hey, bukan mudah tau nak dengar kenalan-kenalan saya ikuti Warna Kasih, satu kebanggaan bagi saya.

     

    Bila kita berbual, beliau telah menceritakan tentang tentangan hebat dar ibunya apabila beliau ingin mendirikan rumah tangga. Sudah 8 tahun kini, beliau telah tamat perkhidmatan Negara dan telah mengumpulkan wang yang cukup untuk meminang anak orang, namun, ibunya masih membangkang dan mengatakan dialog yang sama.

     

    “Kau belum cukup kasi makan dengan mak kau, kau nak kawin. Aku ni kau jaga betul-betul dulu. Ada hati nak kawin.”

     

    Saya tertawa bukan kerana beliau tak dapat kawin, tapi saya pelik, agaknya, sampai tualah dia tak kawin.

     

    “Yan, dari aku NS tau aku kata aku nak kawin lepas NS. Cerita sama jugak dia buka. Bukannya aku tak kasi duit, macam-macam aku bayar, kasi duit lain, beli hadiah lain, ini semua mak aku tak perasaan agaknya.”

     

    Haiz… macam-macam hal. Kini usianya 32 tahun, dan beliau jangkakan perkara yang sama. Tak kawin agaknya.

     

    Mungkin ibunya tidak atau belum bersedia berpisah dengan beliau. Atau, si ibu benar-benar melihat anaknya belum bersedia, tetapi tidak tahu bagaimana untuk mengatakan pada beliau. Jadi, sering sekali ibunya menyebut, “Mak sendiri belum puas kasi makan, eleh”

     

    Beliau mengingatkan saya untuk jangan menyebut nama sebenarnya, takut-takut nanti, betul-betul ibunya tak izinkan beliau mendirikan rumah tangga. Tapi bila saya mintakan nama samaran untuk digunakan malam ini, beliau tak tahu apakah yang sesuai. Baiklah, oleh kerana beliau suka sangat makan sardine, kita panggil dia, mat sardine.

     

    Apakah yang boleh dilakukan mat sardine agar dia dapat menenangkan keadaan dan membuat ibunya setuju dengan keputusan beliau untuk mendirikan rumah tangga? Mat Sardine, merupa satu-satunya anak yang belum berumah tangga. Kakak-kakaknya semua sudah berumah tangga.

     

    Berikan pandangan anda.

    “Pasir Roboh Di Pinggir Kali, Tempat Dibuat Ikan Berlaga, Kasih Tidak Dijual Beli, Bukan Barang Buat Berniaga”

    Written by admin on Thursday, February 26th, 2009 ( 2 responses )

    Begitu hangat sekali merata Singapura, menjadi perbualan harian tentang berita-berita orang kita di akhbar. Bermula dengan kejayaan seorang anak melayu kita, Natasha Nabila Muhamad Nasir, yang merupakan pelajar PSLE terbaik tahun lalu dan tidak henti-henti menjadi tetamu di kesemua media masa. Ia juga mendatangkan tanda tanya kepada segelintir orang yang ingin tahu apakah yang terjadi kepada pelajar-pelajar cemerlang yang lalu, yang juga telah menjadi berita hanggat ketika itu. Seolah-olah mereka memberikan isyarat dan ingin mengatakan bahawa kita meraikan sesuatu yang belum tentu mendatangkan hasil yang terjamin. Walaubagaimanapun, ibubapa tetap bangga dengan kejayaan anak-anak mereka.  

     

    Kemudian pula, kita ditampar dengan berita-berita yang memalukan seperti pengedar dadah yang ditangkap dan berita yang mengerikan tentang seorang melayu kita yang diserang hingga parah. Kini, perbualan mengenai anak-anak yang menjadi nakal mahupun yang berjaya, disasarkan kepada ibubapa yang sepatutnya menjadi bertanggung jawab mengenai perihal mendidik anak-anak.

    Ramai juga kaum bapa yang menjadi marah malahan tidak terima bila seolah-olah mereka disalahkan dalam hal-hal begini. Diantaranya para bapa yang marah mengatakan “bukan kerana saya merokok yang menyebabkan mereka juga merokok. Sebab kawan-kawan mereka yang nakal tu!”

     

    Tapi kalau disoal kembali, bukankah pengajaran dan didikkan yang seharusnya diberikan kepada anak-anak, agar mereka kenal dan tahu apa yang baik dan apa yang buruk? Adakah kenakalan anak-anak tanggung jawab ibu bapa, kawan-kawan, para guru dan asatizah atau berserah sahaja kepada takdir.

     

    Berikan pandangan anda dan beramai-ramailah kita membuka minda kita dalam isu ini. Bukan niat dan hasrat saya untuk mengenakan mana-mana pihak, menyinggung sesiapa, mahupun menindas orang kita. Mudah-mudahan dapat kita jadikan ikhtibar dan renungan. Kita buka minda kita dengan seluas-luasnya, dan tidak ada betul mahupun salahnya dalam pandangan anda. Semua ini merupakan WARNA KASIH dan kita tanamkan Cinta, Kasih dan Sayang dalam jiwa kita.

    Salam Terakhir

    Written by admin on Tuesday, February 17th, 2009 ( One response )

    Sisa-sisa warna kasih bersama saya hanya tinggal beberapa hari sahaja sebelum kita berpisah, sebelum kita meninggalkan kenangan-kenangan yang indah-indah, dalam topic perbincangan, dan perbualan untuk membuka minda, dan jadikan iktibar dan renungan, bertukar-tukar pandangan bagaikan anak beranak berbincang sekeluarga.

     

    Seperti sisa-sisa warna kasih juga, malam ini kita akan berbual dan berbincang tentang perpisahan. Bermauduk, Salam Terakhir.

     

    Memang seperti apa yang kita sering sebut, ajal maut ditangan tuhan, tetapi, apakah yang boleh kita lakukan, dimasa yang suntut sekiranya, orang yang anda sayangi, diberi tahu oleh doctor, bahawa mereka hanya mempunyai beberapa bulan atau hari untuk hidup, nescaya anda akan menghargai kehadiran mereka setiap hari. Jadi, apakah yang boleh dilakukan untuk mereka?

     

    Pernah saya terdengar seorang teman saya, yang menjangkakan ayahnya akan meninggal dunia kerana kesihatannya. Beliau menanyakan ayahnya apa ynag diinginkan. Beliau menceritakan tentang keiinginan ayahnya untuk menunaikan haji. Walaupun, ayahnya berkerusi roda, beliau ikhtiar untuk menunaikan haji untuk ayahnya. Beliau mengisahkan kepuasannya kerana sejurus pulang dari tanah suci mekah, Tidak lama kemudian di tanah air, ayahnya meninggal dunia.

     

    Biasa juga kita dengar cerita-cerita dimana mereka terkilan, kerana tidak sempat melakukan sesuatu yang diingini oleh arwah-arwah mereka, khususnya yang mereka sayangi, dan kemudian, sesal yang teramat tinggi, menghantui kehidupan mereka sepanjang hayat.

     

    Jadi, malam ini sekadar untuk renungan bersama, kita tanyakan, apakah yang boleh dilakukan untuk orang yang kita sayangi sebelum mereka pergi untuk selama-lamanya?

     

    Sisa-sisa warna kasih bukan berniat untuk mengenakan mana-mana pihak, mahupun menambahkan kesedihan kepada sesiapa pun. Mudah-mudahan, kita dapat jadikan renungan dan iktibar dan tanamkan kasih sayang dan sematkan dalam hati kita, untuk menghargai setiap detik dan saat dalam kehidupan kita bersama orang-orang yang kita sayangi, sebelum terlambat. Salam terakhir, adakah salaman yang berakhir dengan senyuman atau kedukaan dan sesalan? Tepuk dada, Tanya iman.

     

    Hargailah, sisa-sisa kehidupan orang-orang yang kita hargai sesungguhnya, kita tidak tahu bilakah perpisahan akan berlaku.

    Salah Siapa?

    Written by admin on Tuesday, February 17th, 2009 ( 2 responses )

    Lumrahnya kalau berlakunya perpisahan diantara sepasang suami isteri, mesti ada pihak yang disebut sebagai, “salah dia” ataupun ada juga yang sering kita dengar, “kita sudah tidak serasi lagi” atau “sudah tiada persefahaman lagi”. Yang paling mudah untuk dilafaskan, “sudah takdir, dah tak ada jodoh lagi, nak buat apa lagi”

     

    Seolah-olah, kita sering salahkan takdir, kerana takdirlah, mereka berpisah. Kita pula diajar, berulang-ulang kali yang kita dengar, yaitu, yang baik datangnya dari yang Maha Esa, yang buruk, adalah dari kita sendiri. Kita renungkanlah.

     

    Agak-agak, siapa pulakah yang akan dipersalahkan dari kacamata anak-anak? Kedua-duanya mereka sayang, kedua-duanya mereka hormat. Mungkin ada yang akan mengatakan ini semua bergantung dengan masalah itu sendiri, jadi, untuk jadikan contoh, kita akan adakan satu sinario.

     

    Seorang suami telah bernikah secara rahsia tanpa izin isteri pertamanya. 4 Tahun kemudian, ketahuan, ditangkap. Isteri tidak menerima hakikatnya, meminta penceraian. Anak-anak melihat ibu bapa bagaikan bertengkar, ibu asyik menangis. Adakah anak akan menyalahkan ayahnya kerana ayahnya telah melukakan hati ibu mereka? Setelah berpisah pula, adakah anak-anak akan mengatakan, ayahnya telah meruntuhkan segala-galanya kerana rahsianya terbongkar ataupun kerana ayahnya telah bernikah lagi?

     

    Dalam sinario sebegini, ada pula golongan mungkin akan mengatakan ayahnya tidak salah kerana masih lagi bertanggungjawab dengan nafkah yang tidak pernah kurang ataupun terputus sepanjang 4 tahun rahsia itu disimpan. Bererti, ayahnya orang yang baik. Mungkin silap si ibu kerana itulah ayahnya mencari lagi satu. Ataupun, kerana ayahnya tahu akan runtuhnya dan kecohnya nanti seandainya si isteri pertama mengetahui tentang keinginannya untuk beristerikan seorang lagi.

     

    Menunding jari bukanlah jalan yang terbaik, namun, bila berlakunya perkara-perkara sebegini, bukankah wajar untuk kita renungkan kembali dan dimasa yang sama, kita boleh mencegah dari perkara-perkara sedemikian dari berlaku.

     

    Dari kacamata seorang isteri pula, akan mengatakan, “Siapa tak kena, dia tak tahu. Mana ada isteri yang nak dimadukan? Baik macam malaikat sekalipun, tak boleh menerima hakikatnya nak kena kongsi suami. Lebih baik sendiri dari dimadukan”

     

    Mak dengan Ayah Kolotlah!

    Written by admin on Tuesday, February 17th, 2009 ( Start discussion )

     

    Selamat menyabut Hijrah 1430, dan juga tahun masihi 2009, mudah-mudahan tahun baru ini, adalah lebih baik dari tahun lalu dan mudah-mudahan kita akan mencapai segala hasrat, impian, cita-cita, angan-angan, niat yang kita lafaskan mahupun dalam hati kita, tercapai, malah mudah-mudahan juga, kita dapat mengejarnya dan segala usaha akan kita kerjakan untuk mencapainya. Seandainya pula apa yang kita inginkan bukanlah yang terbaik untuk diri kita, mudah-mudahan pula, ia akan digantikan dengan yang lebih baik lagi, sesungguhnya kita sering meletakkan diri kita dalam kerugian dan apa sahaja yang kita inginkan kadang kalanya mendatangkan kesusahan lebih dari kebahagian.

     

    Cakap pasal tahun baru pula, alahai, banyak juga cabarannya. Dalam niat mengejar impian menjadi orang yang lebih baik, dan mungkin ada yang berazam untuk menjadi ibu bapa yang lebih baik lagi tahun ini, sepasang ibu bapa yang mengeluh dengan seorang anak remajanya yang mengatakan mereka kolot.

     

    Azman, seorang pemuda yang bakal menerima keputusan peringkat “O”nya, merasakan bahawa pada usia 17 tahun, beliau sudah dewasa dan tahu menjaga dirinya. Beliau inginkan ibu bapanya mengizinkan beliau pergi ke kira detik tahun 2009, iaitu pesta Countdown di mana beliau dan teman-temannya dapat bertemu dan berpesta. Ibu dan ayahnya menegaskan bahawa itu semua bukanlah budaya yang sihat malah banyak yang tidak baik lebih dari kebaikan. Ibu dan ayahnya dikatakan KOLOT kerana teman-temannya yang lain juga diizinkan pergi dan kenapa tidak Azman?

     

    Cik Timah dan Cik Badrul begitu gelisah dan takut kalau-kalau anaknya memberontak. Pelbagai sebab yang telah diberitahu kepada Azman, apakah keburukan untuk berpesta sebegitu dan banyak juga alasan yang diberikan oleh Azman.

     

    Perkhidmatan bas dan pengangkutan awam yang dilanjutkan menjadi satu alasan bahawa beliau tidak akan “torn” atau tidur semalaman diluar. Beliau mengatakan bahawa beliau akan pulang ke rumah setelah selesai acara itu.

     

    “Alah! Bukannya orang nanti minum arak. Setahun sekali benda ni ada pun mak dengan abah tak kasi. Lepas solat isyak baru Azman keluar lah. Azmankan dah besar, takkan benda macam ni pun mak tak kasi”

     

    Sebagai ibu bapa yang perihatin dan ingin menyelamatkan ahli keluarga anda dari kemungkaran, apakah yang boleh dilakukan dan tidak akan digelar, Ibu Bapa Kolot?

    Dah Besar Nak Jadi Apa?

    Written by admin on Thursday, January 29th, 2009 ( Start discussion )

    Kita sering mendengar kata-kata, “Anak-anaklah, merupakan kebanggaan kita.” Dimana, kita ketahui, seandainya anak kita berjaya, kita turut menjadi bangga.

     

    “Anak saya seorang Ustaz, beliau belajar di Universiti Al-Azhar. Kini, dah bergelar Ustaz” Cik Aziz membuat kenyataan dengan penuh kemegahan.

     

    Seorang ayah yang bangga pula mengatakan, “Anak ana pula, baru tamatkan pengajiannya di NUS. InsyaAllah tahun depan dia akan mengambil Masters lah.” Kata cik Osman.

     

    Yang lagi satu terdiam. “Haiz… Mereka ni semua berkemampuan untuk menghantarkan anak-anak mereka sampai ke Universiti. Kenapalah anak aku ni susah sangat nak belajar”

    Kata Cik Adam.

     

    “Kenapa anta diam je? Anak anta sekarang buat apa pula?” Tanya Cik Aziz pada Cik Adam.

     

    “Oh… si Nizam ni minat sangat dengan bola. Dia sekolah setakat ITE je. Nanti dia tahu lah masa depan dia sendiri”

     

    Kata Cik Osman, “Boleh hidup ke jadi pemain bola ni? Bilang dengan anak awak tu, pelajaran itu penting”

     

    Mungkin pada dasarnya, sinario ini kelihatan bagaikan pertandingan. Anak siapakah yang paling hebat atau pandai, tetapi pada mata kaca seorang ayah pula berlainan. Tidak dinafikan, ada juga ibu bapa yang menyokong apa juga minat si anak, tidak kira ingin menjadi seorang pemuzik atau seorang pensyarah.

     

    Ada ramai juga yang berpendapat bahawa tidak kira apa yang ingin dilakukan si anak, pendidikan hingga ke menara gading merupakan asas yang betul, kerana ilmu itu penting. Di sini, ramai yang tidak membangkang bila disebut kepentingan untuk menimba ilmu. Tetapi, di masa yang sama, ada sesetengah anak muda mengatakan bahawa pilihlah arah pendidikan ataupun carilah ilmu yang diminati seperti yang mengemar muzik, pililah jurusan yang berkaitan dengan muzik seperti Universiti Berkly ataupun Kejuruteraan Bunyian dan Audio, walaupun ibubapa menginginkan mereka menjadi seorang doctor ataupun seorang peguam.

     

    Pada umumnya, ibu bapa akan mengatakan, bahawa anak-anak terlalu muda untuk membuat pilihan mereka. Dari itu, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memastikan apakah jurusan sebenar atau arah pendidikan yang sebaik-baiknya untuk anak-anak mereka. Golongan sebegini mengatakan, sekurang-kurangnya mereka memegang ijazah yang baik, seandainya apa yang mereka ingin ceburi gagal, mereka boleh berpaling arah dan mengunakan ijazah atau kelulusan mereka.

     

    Anak-anak, sama ada mereka seorang usahawan atau pemain bola sepak terkenal, seorang peguam ataupun seorang buruh kasar, adalah anak kepada pasangan ibu bapa itu. Dalam sinario sebegini, apakah baik dan buruknya, menetapkan arah dan pilihan kerjaya untuk anak-anak anda?

    Wordpress theme offered by MyDaysOf.com